Sunday, August 14, 2011

sebelum tibanya ramadhan



Adalah sedikit tatapan sebagai tanda ingatan kemasyarakatan TMM2






















Wednesday, August 10, 2011

HATI-HATI MEMBELI LAUK BAZAR RAMADAN

Salam ramadhan semua warga TMM2.

Luluh hati rasanya apabila mengetahui seorang kanak-kanak meninggal dunia kerana berbuka puasa dengan lauk bazar ramadan. Lebih sedih lagi bila diketahui tragedi itu berlaku di Meru. Artikel di bawah ini adalah sebagai iktibar kepada semua warga TMM2 agar lebih berhati-hati membeli makanan di bazar ramadan. Bukan tak bagi beli langsung ye....cuma berhati-hatilah terutama makanan yang basi, tidak masak dan expired. Kalau dah tau makanan yang dibeli tu tak masak atau basi....janganlah terus dimakan. Buangkan saja...mungkin makanan itu bukan rezeki kita. Wallahualam....


"Seorang kanak-kanak perempuan meninggal dunia setelah muntah dan cirit-birit selepas 12 jam berbuka puasa, manakala keluarganya dimasukkan ke hospital selepas mengalami simptom yang sama.
Bapa mangsa Mohamad Ali Khir, 37, berkata, Nurdini, 11, dan keluarganya berbuka puasa dengan otak-otak serta air batu campur yang dibelinya di sebuah Bazar Ramadan berhampiran rumah mereka di Taman Seri Mewah, Fasa 2, Meru dekat sini, Ahad lepas.
“Kira-kira setengah jam selepas berbuka dengan juadah berkenaan, perut saya mula berasa tidak selesa, dan kira-kira sejam kemudian kami sekeluarga dan pembantu rumah mula muntah-muntah dan cirit-birit sehingga tidak larat untuk bangun ke bilik air,” katanya kepada pemberita di Hospital Tengku Ampuan Rahimah hari ini.
Selain Nurdini, anggota keluarga Mohamad Khir yang mengalami simptom sama ialah isterinya, Noraliti Ramli, 37, empat lagi anak mereka iaitu Mohammad Syafiq, 14, Mohammad Irfan, 13, Mohammad Fitri, 8, dan Mohammad Hazimi, 3, serta pembantu rumah yang dikenali sebagai Pati.
Beliau berkata, Nurdini dijumpai terlentang di bilik air pada 6.10 pagi semalam dengan suara dengusan kuat seperti lembu disembelih, manakala mata mangsa terbeliak dan mulutnya berbuih.
Mohamad Ali kemudian membawa anak perempuan tunggalnya itu ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, dan sebaik tiba di situ, mangsa disahkan meninggal dunia.
Beliau berkata, sehingga kini, semua anggota keluarganya dirawat di hospital itu dan doktor belum mengenal pasti penyakit yang mereka hidapi.
Katanya, sejak awal Ramadan, Nurdini meminta untuk menikmati air batu campur serta otak-otak, namun beliau hanya berkesempatan membeli juadah berkenaan Ahad lepas.
Mohamad Ali berkata, jenazah Nurdini dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Meru di sini selepas waktu Zohor, petang semalam.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Utara, Supritendan Mohamad Shukor Sulong ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu manakala pihak hospital tidak dapat dihubungi." SUMBER - UTUSAN

Friday, August 5, 2011

RAMADHAN & PROGRAM TAHLIL





SELAMAT BERPUASA KEPADA SEMUA WARGA TMM2.....
Pada masa artikel ni ditulis...sudah 5 hari umat Islam berpuasa. Suasana di taman kita sangat tenang..buat masa ini. Ye lah...masih awal puasa...mercun pun x jual lagi..haha.
Sehari menjelang ramadhan....warga TMM2 telah mengadakan program tahlil sempena menyambut ramadhan pada kali ini iaitu pada hari Sabtu 30 Julai 2011 bertempat di perkarangan rumah pengerusi TMM2, Sdr. Rusli Abu.
Program dimulakan dengan sembahyang maghrib berjemaah, diikuti dengan bacaan yasin dan tahlil. Sebaik tamat tahlil, sesi diteruskan dengan tazkirah ramadhan oleh Ustaz Hairol Zaman dan diakhiri dengan sembahyang isyak berjamaah. Kemudiannya, semua warga yang hadir menjamu selera dengan menu masakan yang dimasak secara 'rewang' oleh warga tmm2 sendiri. Antara menunya adalah nasi putih, ayam goreng berempah, sambal udang dan nenas masak lemak ikan kering. (Fuhh...meleleh air liur..). Diserikan dengan air tebu yang ditanam dibelakang rumah Wan Hamidi, air cincau bandung, teh tarik dan kopi.
Disebelah petang sebelum program berkenaan...warga TMM2 yang berkelapangan bergotong-royong menyediakan makanan, mengemas khemah dan mempersiapkan kawasan solat. Terima kasih kepada semua yang datang rewang.
Terima kasih juga kepada semua warga TMM2 yang datang ke program tahlil tersebut.

Bilal Maghrib : Pak Ali
Bilal Isyak : Tn Hj Ismail
Imam/Tahlil/Tazkirah : Ustaz Hairol Zaman